KEJADIAN PELIK
Posted in Haji, Umrah with tags Haji, madinah, mekah, Umrah on July 11, 2009 by pakdinoSemasa di tanah suci Makkah, aku telah mengalami beberapa kejadian yang pelik. Aku akan ceritakan sedikit sebanyak di sini.
1. Dalam satu perjalanan dari Madinah ke Makkah, bas kami singgah di pertengahan jalan untuk makan dan berehat. Semasa semua penumpang turun dan menuju ke kedai, seorang jemaah wanita telah turun dan terus ingin menuju ke seberang jalan. Aku lantas mengikutnya dan bertanya, “Mak Aji nak ke mana?”. Jawabnya, “Aku nak balik rumah aku le, nun di belah sana jalan.” Aku lihat warna matanya seperti orang marah.
Aku terus berkata kepadanya, “Mak Aji, kita ni berada di Mekah bukan di Malaysia.” Lantas aku membaca Ayat Kursi dan menghembuskan ke arahnya. Dia tunduk dan terus mengikut aku ke kedai makan.
2. Dalam satu peristiwa lain, pada suatu malam di bilik hotel, dalam keadaan separuh sedar dalam tidur, aku terlihat seseorang yang memakai serban besar sedang bersembahyang. Aku menjadi hairan, tetapi aku tidak mempedulikannya dan meneruskan tidurku. Apabila bangun pada waktu pagi, baru aku terasa silap kerana tidak memberi salam kepadanya. Malam seterusnya aku berharap akan berjumpa lagi tetapi nyata hampa.
3. Pada suatu ketika yang lain pula, aku telah meminta satu set cadar katil yang baru kerana yang lama telah kotor. Aku memberitahu pembantu hotel supaya meletakkannya di atas katil dan aku akan menyalinkannya sendiri. Apabila aku membentangkan kain tersebut di atas katil, rupa-rupanya terdapat seekor ular seperti ular daun di dalam gumpalan kain tersebut. Aku memanggil petugas Bangla dan beliau telah memukulnya hingga mati.
(Bersambung dengan bayak lagi peristiwa pelik.. tunggu)
JEMPUTAN UMRAH
Posted in Umrah on July 7, 2009 by pakdinoAku baru menerima suatu berita yang menggembirakan. Aku dipanggil oleh ahli parlimen kawasanku dan memaklumkan bahawa beliau akan pergi mengerjakan umrah pada 1 Ogos. Lantas beliau mempelawa aku turut serta sambil menyatakan bahawa dia telah lama berhajat untuk membawa aku bersama.
Tetapi setelah aku fikirkan, oleh kerana keadaan kesihatan aku tidak mengizinkan, aku telah menolak pelawaan tersebut. Tambahan pula hajat untuk mengerjakan umrah bagi tahun ini baru sahaja aku tunaikan. Mungkin aku akan menerima pelawaannya (jika ada) pada tahun hadapan.
Aku mengucapkan terima kasih kepada beliau.
AKU DIUJI LAGI
Posted in Haji on July 1, 2009 by pakdinoSeperti yang telah kuceritakan, semasa mengerjakan Haji yang pertama (1996) aku telah diuji oleh Allah dengan pelbagai cara. Oleh itu, semasa mengerjakan haji yang kedua (2006) aku bertekad untuk membaiki kedudukanku dari segi kesabaran yang terkawal.
Aku tetap bersabar semasa aku dilanggar, kepalaku dihantuk dengan kasut (di tangan mereka) semasa jemaah melangkah bahuku untuk ke saf hadapan dan pelbagai lagi dugaan. Aku yakin ujian kesabaranku kali ini dapat kuatasi.
Semasa berada di Mina, kami mendapat berita tentang beberapa jemaah negara luar yang telah meninggal akibat berebut-rebut di tempat melontar. Jemaah Malaysia bernasib baik kerana dipandu oleh petugas Tabung Haji. Pada malam tersebut kami diarah oleh Tabung Haji, berkumpul jam 9.00 malam untuk dibawa ke tempat melontar. Aku dan kumpulanku telah berada di hadapan khemah lebih awal dari jam 9.00. Tiba-tiba pada jam 8.55 perut aku terasa memulas untuk ke tandas. Aku memaklumkan kepada isteriku dan menyuruhnya menunggu sehingga aku kembali dari khemah. Setelah ‘urusanku’ selesai, aku kembali ke tempat berhimpun tadi pada jam 9.10 mlm. Aku dapati kumpulan itu telah bertolak dan isteriku juga tidak berada di situ.
Aku memanggil isteriku melalui telefon bimbit yang telah aku bekalkan kepadanya. Walaupun berkali-kali berdering tetapi tidak mendapat jawapan. Lantas aku menelefon rakan lelaki dalam rombonganku – katanya isteriku tidak ikut serta tetapi menunggu aku di luar khemah. Aku menjadi resah terutama apabila mengingat kejadian yang berlaku pada siang tadi.
Aku ternampak bendera Malaysia yang mendahului satu kumpulan di hadapanku lantas aku berlari memintas rombongan tersebut dan melihat kalau-kalau isteriku ada di situ tetapi ternyata hampa. Beberapa kumpulan Malaysia telah kupintas, namun isteriku tidak kelihatan. Akhirnya aku telah melepasi terowong Muassim dan menghampiri Jamrah. Aku amat risau tentang keselamatan isteriku. Aku menadah tangan dan memohon Allah supaya diketemukan aku dengan isteriku. Dengan tidak semena-mena dia muncul di hadapanku dan terus meluru ke arahku. Kemarahanku mula memuncak tetapi aku masih dapat mengawal kemarahanku.
Selesai melontar, sambil berjalan balik ke khemah aku mula membaca ‘kitab’ dan bersyarah kepada isteriku. Pelbagai kata kesal telah kuhamburkan. Kemarahanku sudah tidak terkawal lagi sehingga aku melihat isteriku mengalirkan air mata kesedihan kerana dimarahi.
Bermula dari insiden itu, aku sudah tidak boleh kawal lagi kemarahanku. Pada hari kedua melontar aku telah mengherdik jemaah wanita dari Malaysia kerana melanggar aku. Seorang jemaah India juga terkena makianku di masjidil haram.
Jelas, walaupun aku cuba untuk mengawal panas baranku (apabila dilanggar, ditolak dlln pada peringkat awal) tetapi akhirnya Allah menggunakan isteriku dan ternyata sekali lagi aku gagal.
(Nampaknya aku kena pergi lagi sekali mengerjakan Haji untuk mendapat penilaian 100%)
DUA DALAM SATU
Posted in Mytravel on June 30, 2009 by pakdinoSepanjang mengerjakan Umrah, aku melakukan dua dalam satu perkara. Setiap kali aku pergi aku akan menggunakan penerbangan yang berbeza. Ini adalah bertujuan supaya aku dapat pergi ke beberapa negara yang berbeza. Sambil berbuat ibadat, aku juga pergi menziarahi berbagai negara.
Antara tempat-tempat yang aku telah pergi adalah – Lebanon, Mesir, Turkey, Bangladesh, Emiriah Arab Bersatu. Aku berpeluang melihat keadaan umat Islam di negara-negara tersebut – cara hidup dan budaya mereka.
Semasa di Istanbul, aku telah bertanya kepada receptionist hotel (namanya Mariam) ke mana arah kiblat. Malangnya dia tidak tahu dan terus memanjangkan soalan itu kepada Mohamed (bellboy). Mohamad telah menunjukkan kepadaku dua arah yang berbeza. Ternyata dia juga tidak tahu. Akhirnya aku terpaksa melihat kedudukan mimbar masjid yang terdekat.
Di bazaar Istanbul, aku telah tertarik dengan sebuah beg kulit yang berharga lebih kurang RM300 dan ingin membelinya. Tetapi peniaga tersebut enggan menjualnya kepadaku apabila dia tahu aku muslim dari Malaysia. Pada mulanya aku naik marah kerana menyangkakan dia beranggapan aku tidak mampu membelinya. Rupa-rupanya dia menjelaskan bahawa beg tersebut terdapat kulit babi di bahagian dalamnya. Alasannya kulit babi agak kukuh berbanding kulit lain. Aku mengucapkan terima kasih kepadanya. Kalau tidak sudah tentulah aku sentiasa berdamping dengan kulit babi ke sana ke mari.
Di Beirut pula, beberapa jemaah wanita yang bersamaku (usia yang agak lanjut) telah diminta membayar harga air yang telah diminum di dalam peti ais hotel. Apabila diminta bayaran yang agak tinggi aku terkejut. Rupa-rupanya yang diminum itu adalah arak. Jemaah wanita itu berkata dia kehausan dan terus meminumnya kerana sangkanya ia adalah percuma. Lagipun dia tidak menyangka yang diminum itu adalah arak. Apabila dibagitau terus dia berkata “Patutlah makcik rasa pening”.
Di Lebanon juga terdapat pertunjukan wayang di mana pelakonnya adalah “orang miskin” (berbogel). Harga tiketnya adalah USD10. Terdapat juga satu billboard yang besar terpapar iklan striptease show.
Ternyata Malaysia lebih halus amalan Islamnya.
PENIAGA ARAB YANG SOMBONG
Posted in Haji, Umrah on June 28, 2009 by pakdinoPada suatu hari, ketika pulang dari Masjidilharam setelah menunaikan solat Isyak, terdapat pihak yang sedang menderma nasi bukhari di tepi jalan. Malangnya dia tidak menyediakan sebarang bekas untuk mengambilnya. Aku lantas menuju ke sebuah kedai, sambil menunjuk ke arah beg plastik yang tergantung aku meminta satu dari peniaga. Respons yang aku terima agak mengejutkan – aku dihalau dengan perkataan “Ruh” yang bermaksud “nyah/hincit/pergi” dalam bahasa Melayu.
Sambil tersenyum, aku mendapat idea untuk mengajar Arab tersebut. Aku cuma tahu beberapa patah perkataan Arab. Sambil berdiri di hadapannya, aku menadah tangan dan menyebut “Ya Allah Ya Rab”. Sambil menunjukkan jari ke arah peniaga tersebut aku menyebut “Bakhil – Laknatullah – Naraka Jahanam”. Dalam hati aku bermaksud “Ya Allah..orang ini kedekut .. Kamu laknatlah dia .. hantar dia ke neraka jahanam”.
Mungkin dia memahami maksud aku dan terus menunjukkan isyarat suruh aku mengambil beg plastik tersebut. Aku tidak mengambil satu tetapi terus mengambil kesemuanya yang tergantung, sambil berdiri di tepi jalan aku memberi satu kepada setiap orang yang lalu dan menunjukkan ke arah penderma nasi bukhari tadi.
Setelah selesai memberi kepada jemaah yang lalu (terutama dari Malaysia) aku menyangkut kembali baki beg plastik tadi di tempat asalnya dan mengambil satu untuk kegunaanku sendiri. Sambil itu aku berkata kepada peniaga tersebut “Syukran shekh. Kamu jangan main dengan orang Melayu. Kami bukanbodoh”. Dia tersenyum kepadaku, mungkin memahami kata-kataku.
PANAS BARAN 2
Posted in Haji on June 26, 2009 by pakdinoSeperti yang kuceritakan dulu, sifat panas baranku memang sukar dikawal
Semasa mengerjakan haji pertama (1996), oleh kerana keadaan di Jamrah (tempat melontar) agak sesak, aku menyuruh 5 orang ahli keluargaku mengikut aku secara berangkai/berpegangan dan jangan terlepas dari ku. Semasa berjalan, di hadapanku terdapat jemaah juga dari Malaysia.
Tiba-tiba satu kumpulan jemaah dari Iran telah merempuh jemaah wanita Malaysia di hadapanku hingga terjatuh. Tanpa kusedari, kaki aku terus aku hayunkan ke arah celah kangakang salah seorang jemaah Iran tersebut hingga dia terjatuh. Dalam gumpalan tanganku tersedia 21 biji batu (untuk melontar) di dalam karung dan terus aku tujukan ke arah jemaah Iran tersebut. Belum sempat sampai ke mukanya, tangan aku telah dipegang oleh isteriku. Setelah sedar, terus aku Istighfar dan mengurut dadaku, memohon ampun dari Allah. Apa yang aku lakukan tadi adalah tanpa aku sedari. Mungkin terjadi kerana tindak balas hasil ilmu persilatan yang yang aku pelajari dulu.
Nasib baik jemaah Iran yang tersungkur tadi bangun dan terus berlalu tanpa bertindak balas kepadaku. Kalau tidak tentulah tercetus pergaduhan antara kami. Mungkin dia juga sedar atas kesalahannya.
Selepas itu kami meneruskan lontaran Jamrah tanpa sebarang insiden yang tidak diingini.
BIMAN AIR
Posted in Umrah on June 23, 2009 by pakdinoSemasa mengerjakan umrah yang baru lalu, saya telah memilih Biman Air (Bangladesh Airlines) kerana mengikut perancangannya, saya berkesempatan transit dan melawat Dhaka. Kata orang putih “Killing two birds with one stone” atau kata Melayu – “sambil menyelam minum air”.
Tetapi nyata perancangan saya salah. Kami bertolak dari Ipoh pada jam 7.00 pagi kerana perlu berada di KLIA pada jam 11.00 pagi. Kami sepatutnya terbang pada jam 5.00 petang. Malangnya kapal terbang delay hingga jam 9.30 malam. Tiba di Dhaka 3 jam 30 minit kemudian. Tiba-tiba kami disuruh segera kerana kapal terbang ke Jeddah sudah sedia. Maka terbanglah pula kami selama 7 jam. Terpaksa pula mengisi minyak di Chittagong selama 1 jam dan tidak dibenarkan turun dari pesawat.
Sampai di Jeddah, kami sambung pula perjalanan ke Madinah dengan menaiki bas selama 6 jam. Bayangkan keseluruhan perjalanan mengambil masa lebih kurang 31 jam – tanpa rehat, mandi dlln. (Kalau kita menaiki pesawat terus KLIA – Jeddah akan mengambil masa 8 jam sahaja). Akibatnya ramai jemaah terutama yang sudah tua dan uzur berada dalam keadaan tidak selesa – sakit kepala, pening, loya, lenguh sendi, dlln.
Kapal terbang yang digunakan berusia lebih 10 tahun tanpa kemudahan hiburan tv dan radio, seperti yang terdapat pada kapal terbang lain. Kakitangan pesawatnya pula agak sombong melayan tetamu. Mungkin mereka berasa bangga kerana di kalangan masyarakat Bangladesh yang rata-rata miskin, menjadi pramugari/a adalah mempunyai status agak tinggi.
Perjalanan pulang pun perkara yang sama berulang. Akibatnya, setelah pulang saya dan isteri mengambil masa 3 hari untuk mengumpulkan semula tenaga yang hilang akibat perjalanan yang terlalu lama.
Oleh yang demikian, sekiranya saudara/i ingin menggunakan khidmat Biman Air : FIKIR-FIKIRKANLAH.
TUNAI HAJAT
Posted in Umrah on June 21, 2009 by pakdino12 tahun yang lalu, sebulan sebelum menunaikan Haji yang pertama, aku dianugerahkan seorang cucu sulung yang cacat anggotanya. Aku bertanya kepada Allah “Kenapa cucuku dilahirkan begitu sedangkan orang yang berbuat maksiat dan membuang anak sempurna sifatnya?”
Setiap kali aku mengerjakan solat di Masjidilharam, aku sentiasa dikelilingi oleh pelbagai jenis orang cacat. Dari mana mereka muncul sedangkan pada mulanya tidak kelihatan. Apabila dirapatkan saf untuk memulakan solat, mesti ada orang cacat di hadapan atau di sisiku. Finally aku berjumpa dua orang muda dari Bangladesh yang memakai ihram – seorang sempurna sifatnya tetapi yang seorang lagi cacat – terketar2 dan air liurnya sentiasa meleleh. Di tangan abangnya sentiasa terdapat tisu untuk mengelap air liur adiknya. Aku bertanya kenapa jadi begini. Jawab si abang, adiknya memang dilahirkan begitu.
Terlintas di fikiranku, ada juga orang yang lebih teruk dari cucuku. Terus aku bertukar bebalanku kepada kesyukuran. Aku memohon maaf daripada Allah dan melakukan solat taubat dan solat syukur. Aku berdoa supaya cucuku akan membesar tanpa menyusahkan orang lain dan boleh berdikari. Aku berjanji akan membawanya ke Mekah apabila masa mengizinkan.
Selepas itu, aku tidak pernah berjumpa lagi dengan orang cacat semasa hendak mengerjakan solat. Inilah kebesaran Allah. Aku berasa malu kerana baru diuji sedemikian aku sudah mengalah.
Jun 2009, aku gembira kerana telah dapat membawa cucuku yang kini berusia 12 tahun ke Mekah untuk mengerjakan Umrah. Bercucuran air mataku tanpa tertahan semasa aku memimpin tangannya untuk tawaf dan saie. Segala amalan ibadat dapat dilakukan dengan mudah walaupun terdapat ramai pengunjung pada masa itu. Dia kelihatan begitu gembira sepanjang berada di sana.
Aku bersyukur kepada Allah kerana telah memakbulkan hajatku.

Bersama emak saudaranya di bukit Uhud.

Dia kelihatan sungguh gembira semasa berada di sana. Satu kepuasan kepada diriku.

Memberi syarat "peace" dengan caranya tersendiri.

Gambar kenangan bersama atuk di makam syuhada.

Dikelilingi oleh merpati berhampiran Masjdi Nabawi.

Kenangan di 'Bukit Magnet' berhampiran Madinah.
PANAS BARAN
Posted in Haji on June 2, 2009 by pakdinoAku memang seorang yang panas baran. Ramai rakan yang berpesan apabila di Mekah mestilah sabar dengan sebarang ujian.
Suatu ketika semasa aku mengerjakan tawaf dengan begitu khusuk. Pesan tok guru, “alignment” bahu mesti 90 darjah dengan Kabah. Kalau lari bearing mesti dibuat semula. Tiba-tiba aku ditepis dan dilanggar oleh orang yang sedang mengambil upah mengusung orang uzur untuk tawaf. Hatiku tersentak dan mula meruap. Aku berundur untuk membetulkan tapakku dan meneruskan tawafku hingga pusingan yang ke 7.
Setelah selesai sembahyang sunat Tawaf di Makam Ibrahim aku menyuruh isteriku menunggu aku di situ kerana aku nak “tawaf khas”. Aku pun terus berjalan mengelilingi Kaabah – tiba-tiba aku terdengar suara seperti orang yang melanggar aku tadi. Mereka juga sedang mengambil upah mengusung orang uzur. Aku berlari-lari mengejar mereka dan apabila berada betul-betul di belakang mereka aku telah menyepak kaki salah seorang pengusung itu hingga ia terselepok jatuh. Pengusung itu juga telah tersenget sebelah – nasib baik orang yang diusung tidak jatuh. Sambil itu aku mengherdik pengusung yang terselepok tadi “Apa, mahu lawan mari”. Aku tidak tahu dia faham atau tidak. Dia lantas bangun dan meneruskan kerja mengusungnya. Aku berasa puas sebab nyata dia takut dengan aku.
Pendekkan cerita, semasa aku sembahyang Asar pada sebelah petangnya – selesai sahaja aku memberi salam ke kanan dan kiri, kaki aku jadi “cramp”. Tidak boleh dibengkokkan dan terasa kejang. Baru aku teringat, inilah akibat kejadian pagi tadi.
Aku terus mengensot ke tempat air Zamzam dan meminumnya sambil berniat untuk menyembuhkan sakitku. Aku sapu kakiku yang sakit dengannya. Seterusnya sambil duduk dan kaki yang terlunjur, aku melakukan solat sunat taubat dan berdoa kepada Allah serta meminta kemaafan kepadaNya. Setelah itu, kesakitan di kakiku pun reda dan aku boleh membengkokkannya semula.
Aku berjanji tidak akan melakukan kesilapan sebegitu lagi. Malangnya semasa aku mengerjakan Umrah dan Haji kali kedua, aku diuji lagi… (nanti aku ceritakan).